Tuan Hj Hashim atau lebih di kenali dengan abe Sim merupakan seorang penduduk Kg Dusun Muda, Kota Bharu yang tidak asing di kalangan penduduk kampong tersebut.
Seorang yang selalu mengunjungi masjid Al-Ihsan dan sangat rapat dengan ahli jamaah dan kariah masjid yang lain.
Sudut profil kali ini memberi peluang utuk keluarga 4MU mengenali beliau dengan lebih dekat lagi.
Beliau yang turut menghadiri majlis kesyukuran sempena menyambut menantu perkahwinan Engr Munzir tempoh hari dilihat begitu ceria sekali dengan mengenakan baju merah jambu dan berkasut putih. Beliau dilihat begitu ramah dengan orang ramai malah boleh kita ibaratkan yang Abe Sim adalah tetamu istimewa pada hari itu.
Kita doakan beliau panjang umur dan terus berbakti pada masyarakat kg Dusun Muda, Kota Bharu. Semoga segala tunjuk ajar dan nasihat beliau dapat menjadikan panduan oleh generasi muda khususnya di Dusun Muda.
SUDUT PROFIL 4MU: ABE SIM ORE HEBAT DUSUN MUDA
MAJLIS KESYUKURAN DAN MAJLIS ARWAH
SATU MUHARRAM 1433H yang bersamaan dengan 27hb November 2011 yang lalu merupakan satu tarikh keramat kerana ianya bukan sahaja mengingatkan tentang hijratu Rasul yang berlaku lebih seribu empat ratus tahun yang lalu, tetapi ia juga merupakan satu tarikh yang tidak dapat dilupakan oleh keluarga dan penyokong 4MU.
Alhamdulillah majlis di atas walaupun hanya sederhana namun ia berjalan lancar dengan kehadiran begitu ramai sekali sahabat dan rakan taulan.
Antaranya rombongan dari Muslimat Shah Alam, yang diketuai oleh Puan Anita dan suaminya Sdra Mohd Shah.
Wakil Serpents Kolej Melayu Kuala Kangsar, Tuan Hj Mohd Zamani Hamzah.
Wakil Kamilian 73, Sdra Rahimi Nawi.
Wakil rakan rakan dari Malakoff Bhd, Tuan Hj Rosli Abdul Hamid.
Wakil rakan rakan dari Tg Bin Power Plant, sdra Adabi.
Wakil rakan rakan dari "Lumut Power Plant" Puan Asmawati.
Turut memeriahkan majlis kali ini ialah; YB Dato' Hj Wan Abdul Rahim Bin Wan Abdullah, Ahli Parlimen Kota Bharu dan Dato' Anuar Tan Bin Abdullah, Ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan.
Rakan-rakan sepejabat pengantin lelaki juga tidak ketinggalan untuk datang jauh dari Kuala Lumpur semata-mata untuk meraikan majlis perkahwinan teman sepejabat mereka ini.
Malah kehadiran keluarga rapat yang tedekat dan yang jauh membuktikan bahawa satu pertalian keluarga tidak harus di pandang ringan khususnya di zaman ledakan siber ini. Kerana kesibukan banyak urusan kekeluargaan tidak diberi perhatian malah sepi di pandang ringan.
Seperti doa kita di akhir tahun Hijrah 1432 dan juga di awal Muharram semalam, sama-samalah kita berdoa agar Allah merahmati kita semua dengan harapan pintu syurga terbuka luas dan pintu neraka tertutup rapat buat kita semua. Harapan kita juga untuk melihat pasangan pengantin yang baru dinobatkan Raja Sehari di panjangkan usia dan dianugerah Allah dengan anak cucu yang soleh dan solehah.
Cuaca pada hari itu yang amat baik (berbeda dengan hari-hari sebelumnya) dengan sinaran matahari seolah olah "mengiakan" doa kita. Semoga ianya penanda kearah membentuk ummah yang bertaqwa lagi mardhatillah. Ameen.
SUPLIMEN ZHAHAB UNTUK IMAM MASJID DUSUN MUDA
Satu majlis ringkas penyampaian suplimen Zhahab, Fiddah dan krim Humaira untuk Imam Masjid Dusun Muda, dekat Kota Bharu Kelantan telah diadakan di pejabat 4MU Services and Resources, Kg Dusun Muda, Kota Bharu Kelantan Darul Naim pada 13hb Nov 2011. Majlis penyampaian sumbangan itu disempurnakan oleh Pengurus 4MU Sdra Jasmani Mohamad.
Suplimen Zhahab, Fiddah dan Humaira adalah antara produk makanan kesihatan dan krim sapu keluaran Rizqan Healing and Consultant. Suplimen Zhahab umpamanya adalah formulasi khusus untuk menstabil kandungan gula dalam darah pada paras normal.
Ustaz Muhammad Bin Isa adalah imam Masjid Dusun Muda semenjak 11 Ogos 1976 lagi. Ini bermakna telah 35 tahun beliau memberi perkhidmatan pada masjid ini. Masjid yang di asaskan dan diwaqafkan oleh Dato' Hussin sangat bermakna bagi penduduk di kawasan sekitarnya. Banyak aktiviti aktiviti kemasyarakatan dijalankan di sana disamping solat Hari Raya ( Idul fitri dan Idul Adha ) dan Solat Tarawikh di dalam bulan Ramadhan.
Adalah diharapkan dengan bantuan dan sumbangan dari seorang individu tertentu yang tidak mahu dikenali dalam bentuk makanan kesihatan/tambahan Rizqan ini, dapat membantu Ustaz Muhammad memulihkan kesihatannya, InsyaAllah. Kami di 4MU berdoa kepada Allah agar Ustaz Muhammad dapat terus memimpin secara lebih efektif ahli kariah masjid Dusun Muda untuk beberapa tahun yang akan datang.
Adalah menjadi harapan kita semua agar Masjid Dusun Muda tersenarai di antara masjid masjid yang terus makmur dan subur dengan aktiviti keugamaan dan pengajian ilmu dan juga kemasyarakatan.
Eid Adha AlMubarak 1432H
Kedatangan Hari Besar Hari Raya Haji adalah satu saat yang amat istimewa.
Pertamanya ia mengingatkan kita sejarah Nabi Ibrahim a.s dan puteranya kesayangannya Nabi Ismail a.s. Peristiwa yang bersejarah ini walaupun diputar dan diulang beribu ribu kali setiap tahun, ianya satu yang tidak membosankan malah ia begitu syahdu dan begitu menyentuh perasaan hati kecil kita.
Pengorbanan yang dilakukan Nabi Ibrahim a.s tercatit dalam sejarah manusia yang bertamaddun sebagai satu pengorbanan yang tiada tolak bandingannya. Apa lagi ianya melibatkan dua insan yang mempunyai pertalian darah seorang ayah dengan anak kandungnya. Seorang ayah yang amat kasih kepada anaknya. Seorang anak yang bukan hanya kasihkan ayahnya malah amat mentaatinya. Segala emosi yang terpaut di antara kedua insan ini diketepikan hanya kerana mengikut dan mentaati perintah Allah. Lantaran itu buat kedua insan ini perintah Allah adalah absolute dan perlu di laksanakan tanpa bantahan dan apa jua alasan. Itulah keimanan dan ketaqwaan di peringkat yang tetinggi dan terunggul. Tiada manusia lain yang diuji Allah begitu rupa dan tiada mungkin ada manusia lain yang sanggup menghadapinya kalau diuji Allah sebegitu tragis.
Tapi kita tidak dibiarkan begitu sahaja tanpa apa apa kesan dari peristiwa ini. Saban tahun kita terpanggil untuk mengadakan korban untuk kebaikan insan yang lain. Setiap dari kita yang berkemampuan akan menyediakan seekor lembu atau sebahagian darinya untuk dikorbankan manakala daginnya diagihkan khususnya pada fakir miskin dan jiran tetangga. Dengan keikhlasan melaksanakan ibadah korban, sudah pastilah Allah akan mengangkat nya sebagai satu lagi ibadah yang membuktikan ketaqwaan hambaNya ini.
Bukan semua dikalangan kita di uji Allah dengan kekayaan dan kemewahan harta benda. Ramai juga yang di uji Allah dengan kemiskinan dan kedaifan hidup. Namun apabila kedua dua kumpulan ini bersabar dan redha dengan ujian Allah ini maka manafaatnya adalah kebaikan dan keadilan untuk semua. Islam menganjur CSR dalam takrifnya yang tersendiri. Malah kebajikan sesama insan adalah merupakan teras ibadat yang amat penting yang membentuk jiwa kemanusiaan. Lihat saja pada institusi zakat, sedekah, aqiqah, korban, dan amalan kemasyarakatan yang di anjurkan Islam. Bukankah itu menuntut kepada satu persaudaraan yang sejati yang melewati warna kulit, bangsa, batasan sempadan dan demografi kehidupan.
Dengan kesedaran tesebut setelah bertahun diuji dengan batasan masa dan kesihatan, 4MU kini dengan gagah melangkah kehadapan menyahut seruan berat sama di pikul ringan sama dijinjing. Kewajipan menunaikan tangung jawab kepada ummah menjadi prioritas dan diberi keutamaan. Dunia mana yang tidak di timpa bala, azab dan mehnah ujian. Banyak kalangan manusia yang menjadi mangsa kerakusan manusia yang lain. Bencana demi bencana tidak pernah di tauladani malah tiada pengajaran yang dikutipnya. Yang lemah merana yang kaya menjana. Akhirnya neraca tidak seimbang maka berlakulah penindasan dan kezaliman. 4MU yang lemah dan baru belajar berjalan mengambil keputusan membantu sekadar yang mampu. Mereka yang memerlukan bantuan masih ramai. Tidak semua mendapat pembelaan dan tiada institusi yang mampu membela kesemuanya. Tapi apa pun kelemahan yang ada usaha membantu masyarakat khususnya umat Islam tetap diteruskan kerana Allah tidak menilai apa yang kamu capai tapi apa yang kamu buat. Kita yakin kalau sesuatu usaha diiringi dengan keikhlasan dan kemurnian hati, pasti Allah akan membantu kita mencapai apa yang dihajat. Untuk itu marilah kita korbankan harta dan masa untuk membantu sudara kita yang diselubungi pelbagai mala petaka baik dari sudut ekonomi maupun kesihatan. Kemarau, banjir, gempa bumi, ribut taufan, tanah runtuh, tsunami, kemalangan radiaoaktif adalah diantara tragedi yang sedang berlaku dan masih menghantui masyarakat dunia kita. Perjalanan masih jauh dan langkah pertama hanya baru bermula.
SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA KORBAN DENGAN PENUH KETAATAN.
Ir. NOR SHAKIMAN BIN MUHAMMAD
Penduduk Dusun Muda Berpeluang Bertemu Dr Rais Abdullah
Hampir 60 individu dari Kampong Dusun Muda dan kawasan sekitarnya, telah keluar membuat pemeriksaan kesihatan pada 2hb Nov kelmarin. Program bermula jam 8.30 pg dan berakhir pada 5.20 ptg. Malah beberapa orang lagi masih tiba untuk mendapatkan rawatan walaupun selepas rombongan tuan Doktor berlepas ke Kedah untuk program lain di sana pada jam 5.30 ptg.
Kesemua yang hadir juga membuat semakan daftar pemilih dengan menggunakan web talian SPR. Mereka yang didapati belum mendaftar diminta dan dibantu untuk membuat pendaftaran segera sebagai pemilih.
Dengan sambutan yg sangat hebat dan membanggakan ini 4MU dengan kerjasama Rizqan Healing and Consultant akan cuba InsyaAllah menganjurkan permeriksaan kesihatan secara percuma setiap bulan. Kita juga merancang untuk menjelajah seluruh jajahan di Kelantan sedikit masa lagi untuk memberi peluang kepada semua mendapatkan pemeriksan kesihatan percuma ini dan seterusnya berpeluang untuk bertemu dengan Dr Rais B Abdullah sendiri. Kita harapkan dan doakan Allah memberkati segala usaha murni ini dan memudahkan segala amalan baik kita ini. Kita doakan Allah memberi kekuatan kepada pendokong 4MU untuk memastikan cita cita 4MU untuk mencari dana bagi membantu umat ini semampu yang boleh.
Kita seterusnya menyeru kepada semua yang telah membeli produk Rizqan Healing and Consultant supaya mematuhi kesemua pantang. Kami doakan supaya Allah hilangkan penyakit yang dijadikan ujian untuk kita. Kita yakin kita telah banyak bersabar dengan ujian ini dan bersyukur kerana diberi peluang untuk terus menikmati kehidupan ini. Dan untuk menjadi hambaNya yang lebih bertaqwa maka kesihatan adalah satu keperluan untuk pastikan ibadah kita adalah yang berkualiti dan ditahap yang terbaik. InsyaAllah.
MISI KEMANUSIAAN KE BANGKOK 26 - 28 OKT 2011
Satu kumpulan 4MU FOR MUSLIM UMMAH yang diketuai oleh Tuan Hj Ir Nor Shakiman Muhammad telah berjaya mengadakan kunjungan kemanusiaan ke kota Bangkok untuk menilai keadaan banjir di sana seterusnya membawa bantuan makanan untuk penduduk Islam di sekitar Bangbuathong, Utara Bangkok. Walaupun hanya 70kg bahan makanan yang berjaya dibawa dalam misi kali ini namun hakikatnya ia adalah satu misi 4MU yang berjaya. Satu pertemuan dan perbincangan tidak formal telah diadakan dengan pihak Council Of Muslim Organisations of Thailand ( COMOT) yang di wakili oleh Sdra Sarawud ( Sdra Jalaluddin). Turut serta dalam perbincangan tersebut ialah Ustaz Harun yang tidak asing lagi di kalangan pendengar siaran radio Islam Thailand.
Memandang kejadian musibah yang melanda kota Bangkok bagaikan tiada kesudahannya, semua pihak bersetuju untuk melipat gandakan bantuan kemanusiaan khususnya makanan. Jadi sekiranya anda tidak mahu ketinggalan dalam infak yang mulia ini, maka tibalah masanya untuk mengorbankan sedikit dari harta yang dianugerahkan Allah untuk kerja kebaikan ini. Pihak 4MU mengucapkan ribuan terima kasih kepada Sdra Hj Tarmizi dan Cikgu Khairul yang turut serta dalam misi kemanusiaaan ke Bangkok ini. Semuga Allah membalas budi baik kalian dan ditempatkan bersama sama orang yang salih.
PEMERIKSAAN KESIHATAN PERCUMA OLEH DR RAIS B ABDULLAH
Sukacita dimaklumkan bahawa 4MU Services and Resources dengan kerjasama Rizqan Healing and Consultant akan mengadakan pemeriksaan kesihatan secara percuma untuk penduduk di Kota Bharu atau/dan kawasan yang berhampiran.
Lokasi: Pejabat 4MU Services And Resources
4807-D Jalan Bayam
Kota Bharu,
Kelantan,
( Belakang Bengkel Cacat, Jabatan Kebajikan Masyarakat )
Hari: 2hb November 2011 ( Rabu )
6 Zulhijjah 1432H
Masa: 8.30 pagi - 5.00 petang
Bayaran: Percuma ( Sumbangan Ikhlas untuk Tabung Rawatan adalah di alu alukan )
Hubungi: IR. Hj Nor Shakiman B Muhammad ( Hp: 012-2032350 ) ( Off: 09-7483350 )
Hajjah Noor Hashimah Bt Hussein ( Hp: 019-2187266 )