Eid Adha AlMubarak 1432H

Kedatangan Hari Besar Hari Raya Haji adalah satu saat yang amat istimewa.

Pertamanya ia mengingatkan kita sejarah Nabi Ibrahim a.s dan puteranya kesayangannya Nabi Ismail a.s. Peristiwa yang bersejarah ini walaupun diputar dan diulang beribu ribu kali setiap tahun, ianya satu yang tidak membosankan malah ia begitu syahdu dan begitu menyentuh perasaan hati kecil kita.

Pengorbanan yang dilakukan Nabi Ibrahim a.s tercatit dalam sejarah manusia yang bertamaddun sebagai satu pengorbanan yang tiada tolak bandingannya. Apa lagi ianya melibatkan dua insan yang mempunyai pertalian darah seorang ayah dengan anak kandungnya. Seorang ayah yang amat kasih kepada anaknya. Seorang anak yang bukan hanya kasihkan ayahnya malah amat mentaatinya. Segala emosi yang terpaut di antara kedua insan ini diketepikan hanya kerana mengikut dan mentaati perintah Allah. Lantaran itu buat kedua insan ini perintah Allah adalah absolute dan perlu di laksanakan tanpa bantahan dan apa jua alasan. Itulah keimanan dan ketaqwaan di peringkat yang tetinggi dan terunggul. Tiada manusia lain yang diuji Allah begitu rupa dan tiada mungkin ada manusia lain yang sanggup menghadapinya kalau diuji Allah sebegitu tragis.

Tapi kita tidak dibiarkan begitu sahaja tanpa apa apa kesan dari peristiwa ini. Saban tahun kita terpanggil untuk mengadakan korban untuk kebaikan insan yang lain. Setiap dari kita yang berkemampuan akan menyediakan seekor lembu atau sebahagian darinya untuk dikorbankan manakala daginnya diagihkan khususnya pada fakir miskin dan jiran tetangga. Dengan keikhlasan melaksanakan ibadah korban, sudah pastilah Allah akan mengangkat nya sebagai satu lagi ibadah yang membuktikan ketaqwaan hambaNya ini.

Bukan semua dikalangan kita di uji Allah dengan kekayaan dan kemewahan harta benda. Ramai juga yang di uji Allah dengan kemiskinan dan kedaifan hidup. Namun apabila kedua dua kumpulan ini bersabar dan redha dengan ujian Allah ini maka manafaatnya adalah kebaikan dan keadilan untuk semua. Islam menganjur CSR dalam takrifnya yang tersendiri. Malah kebajikan sesama insan adalah merupakan teras ibadat yang amat penting yang membentuk jiwa kemanusiaan. Lihat saja pada institusi zakat, sedekah, aqiqah, korban, dan amalan kemasyarakatan yang di anjurkan Islam. Bukankah itu menuntut kepada satu persaudaraan yang sejati yang melewati warna kulit, bangsa, batasan sempadan dan demografi kehidupan.

Dengan kesedaran tesebut setelah bertahun diuji dengan batasan masa dan kesihatan, 4MU kini dengan gagah melangkah kehadapan menyahut seruan berat sama di pikul ringan sama dijinjing. Kewajipan menunaikan tangung jawab kepada ummah menjadi prioritas dan diberi keutamaan. Dunia mana yang tidak di timpa bala, azab dan mehnah ujian. Banyak kalangan manusia yang menjadi mangsa kerakusan manusia yang lain. Bencana demi bencana tidak pernah di tauladani malah tiada pengajaran yang dikutipnya. Yang lemah merana yang kaya menjana. Akhirnya neraca tidak seimbang maka berlakulah penindasan dan kezaliman. 4MU yang lemah dan baru belajar berjalan mengambil keputusan membantu sekadar yang mampu. Mereka yang memerlukan bantuan masih ramai. Tidak semua mendapat pembelaan dan tiada institusi yang mampu membela kesemuanya. Tapi apa pun kelemahan yang ada usaha membantu masyarakat khususnya umat Islam tetap diteruskan kerana Allah tidak menilai apa yang kamu capai tapi apa yang kamu buat. Kita yakin kalau sesuatu usaha diiringi dengan keikhlasan dan kemurnian hati, pasti Allah akan membantu kita mencapai apa yang dihajat. Untuk itu marilah kita korbankan harta dan masa untuk membantu sudara kita yang diselubungi pelbagai mala petaka baik dari sudut ekonomi maupun kesihatan. Kemarau, banjir, gempa bumi, ribut taufan, tanah runtuh, tsunami, kemalangan radiaoaktif adalah diantara tragedi yang sedang berlaku dan masih menghantui masyarakat dunia kita. Perjalanan masih jauh dan langkah pertama hanya baru bermula.

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA KORBAN DENGAN PENUH KETAATAN.

Ir. NOR SHAKIMAN BIN MUHAMMAD

0 comments:

Post a Comment